Wednesday, August 4, 2010

Merbok Terbang..



Ayah pulang ke rumah dengan membawa seekor burung merbok. Sungguh ceria wajahnya walaupun kepenatan bermandi peluh dengan ratusan longgokkan buah kelapa sawit di ladang tempat kerja.

Ayah : Abang, ambilkan ayah sangkar lama di belakang rumah itu..

Alif terus berlari ke belakang rumahnya menuruti perintah ayah. Dalam hati Alif sangat tenang dan gembira melihat ayahnya yang kepenatan namun masih kelihatan ceria.

Alif : Ayah, mana ayah dapat burung ni?
Ayah : Ayah nampak dia kena jerat tadi.. Kaki dia luka.. Cantik tak burung ni? (sambil mengusap-usap burung itu dan tersengeh).
Alif : Cantiklah ayah burung ni.. Kita bela dia lah ya?

Ayah mengangguk dan tersenyum girang. 

Setiap hari, selepas pulang dari kerja ayah pasti membelai burung merboknya itu. Kemudian selepas puas membelai dan bermain dengannya baharu ayah masuk ke dalam rumah dan membersihkan diri seterusnya berehat. Ayah memberikan tanggungjawab kepada Alif supaya menjaga burung merbok kesayangannya itu di waktu dia tidak ada di rumah. Oleh itu, Alif adalah tuan yang kedua kepada burung merbok itu.

Setiap kali pulang dari sekolah, Alif pasti akan memeriksa makanan dan minuman burung merbok. Dia menjaga dan membelai burung merbok itu dengan penuh kasih sayangnya. Semakin hari dia menjaga si burung merbok, semakin sayang dia akan burung itu. Sayangnya Alif terhadap burung merbok itu semakin mendalam kerana dia menganggap burung itu adalah hadiah pemberian daripada ayahnya. Malah Alif berjanji kepada diri sendiri bahawa dia akan menjaga burung merbok tersebut sebaik mungkin sehinggalah burung itu sembuh luka di kakinya.

Hari ini, Alif begitu gementar untuk menunggu kepulangan ayahnya dari kerja. Dia berasa gusar dan cuba mencari alasan yang munasabah untuk diberikan kepada ayahnya nanti apabila pulang. Ayah pulang. Seperti biasa, dia pasti akan menuju ke sangkar burung merboknya yang baru sahaja sembuh kakinya semalam.
Mata ayah membulat terbeliak apabila melihat sangkar yang tergantung pada dahan pokok kedondong itu kosong. Hatinya berdebar-debar dan kehairanan.

            Ayah : Abang, mana burung??

Alif keluar dari dalam rumah dengan takut di dada. Terus dia menuju kepada ayahnya di bawah pokok kedondong yang rendang.

            Ayah : Mana burung?
Alif : Mm.. Mm.. Masa abang penuhkan makanan dia tadi, abang dah tutup pintu sangkar itu… Tta.. Tta.. Tapi.. Abang lupa hendak selakkan kunci pintunya..
Ayah : Cuai sungguh awak ini Alif.. Bagaimana awak mahu terbang sendiri jika burung seekor yang dipelihara pun terlepas terbang?.

Ayah melafazkan kata-kata yang membawa makna besar pada diri Alif. Sehingga sebelum tidur, kata-kata ayah masih membisik-bisik ke telinganya. “Bagaimana awak hendak terbang sendiri jika burung seekor yang dipelihara pun terlepas terbang?”.

Tuesday, August 3, 2010

Mulakan Madah..


Assalamualaikum.. Sebagai pengenalan bagi Madah Kongsi ini, Perro ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pembaca yang ringan mata, ringan jari dan ringan minda untuk menjeguk ke blog ini.. 

Pangkal alasan blog ini dicipta adalah untuk mendedahkan cerita-cerita yang bermain-main dalam pemikiran si Perro. Mungkin ada daripada cerita-cerita yang terkandung dalam blog ini tidak begitu penting atau menarik untuk dikongsi.. Namun ia terpulang kepada mereka yang mungkin  mampu menggali dalam nilai-nilai sentimental dan sensetiviti daripada setiap entri dalm blog ini.

Madah Kongsi ini adalah lapangan untuk Perro berkongsi cerita. Kisah realiti hidup mahupun anganan semata-mata. Perro percaya bahawa setiap insan punyai kisah yang membawa perubahan dalam diri mahupun kehidupan masing-masing. 

Perro yakin ramai diantara kita sekarang ini berada di puncak kerana mereka bermula dengan angan-angan.. Perro suka berangan.. Perro gemar meramal.. Meramal dan menilai.. Oleh itu, untuk berkongsi apa yang diangankan, apa yang dinilaikan dan apa yang difikirkan, Perro zahirkan dalam Madah Kongsi ini.. Mungkin dengan bercerita lisan dan lakonan kita tidak mampu menggambarkan pemikiran dan rasa seseorang. Maka Perro memutuskan untuk melaungkan segala rasa dan permainan minda melalui Madah Kongsi.. Sekiranya dalam hati anda ingin mengkritik, samada positif mahupun negatif, Perro sangatlah menghargai dan mengalu-alukan.. Sekian..
SALAM..

Hati berbicara..tak bersuara..